Wednesday, February 25, 2015

Masak Kicap Ayam


 
Menu yang simple tetapi boleh membangkit selera anak-anak. Terdapat pelbagai resepi masak kicap namun resepi yang digunakan ini sangat mudah dan senang untuk disediakan.
 
Bahan-bahan:
 
1/2 ekor ayam - dipotong kecil dan dibersihkan
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 cawan kicap pekat manis
2 biji cili merah
5 biji kacang panjang - dipotong serong
2 helai daun limau purut - Jika suka
Minyak - Untuk menggoreng ayam dan menumis
 
Cara Penyediaan:
 
  1. Ayam dilumur dengan garam dan kunyit, kemudian goreng.
  2. Tumbuk bawang kemudian tumis
  3. Masukkan kicap dan tambah sedikit air mengikut kepekatan yang disukai
  4. Perasakan dengan garam dan gula
  5. Masukkan ayam yang telah digoreng
  6. Masukkan daun limau purut, kacang panjang dan cili yang telah dipotong.


Tuesday, February 24, 2015

Sambal Ikan Rebus Buah "Cupu"

 
 
 
Sambal ikan rebus dan buah cupu. Resepi yang digunakan adalan sama dengan sambal ikan manga muda, bezanya manga muda digantikan dengan buah cupu. Kedua-duanya berfungi untuk memberi rasa masam kepada sambal ikan yang disediakan. Boleh rujuk di SINI.

Monday, February 23, 2015

Ikan Tenggiri Gulai Belimbing Buluh


Belimbing buluh memang sedap dimasak gulai bersama ikan, udang atau ketam. Menjadi kegemaran kami ikan tuka @ pari kecik salai kemudian masak gulai kuning dengan belimbing. MemandangKan ikan tuka tak ada, sebagai ganti ikan tenggiri digunakan. tidak mengecewakan gulai ini juga memang menambat selera kami sekeluarga. Resepi untuk gulai kuning ini boleh dirujuk di SINI. Cuma bezanya gulai ini dimasukkan belimbing buluh yang telah dicelur seketika.
 

Friday, February 20, 2015

Mee Bandung Batu Pahat

 
 
Mee Bandung Batu Pahat sedikit berbeza dengan Mee Bandung Muar. Mee Bandung Batu Pahat mengikut apa yang kami makan sedikit manis dan tidak pedas. Mee Bandung yang popular di Batu Pahat ialah Mee Bandung berdekatan dengan Panggung Odeon Lama tidak jauh dari Stesen Bas. Terdapat banyak kedai yang menjual mee bandung disitu. Rasanya hamper sama bagi semua kedai. Salah satu pemilik kedai di situ telah menyediakan rempah mee bandung segera dan rasanya memang sama dengan apa yang kami makan di kedai di Batu Pahat. Rempah mee Bandung ini boleh di beli online dan bernasib baik kerana rampah ini ada dijual di Pasar Putrajaya.
 
 
 
Bahan dan cara penyediaan seperti di belakang pek rempah mee bandung untuk 3/4 orang makan:
 
1 pek rempah
0.75 liter air rebusan daging/ayam/rebusan tulang
3 genggam mee kuning
3 biji telur
Rencah pilihan seperti daging, udang, sotong kembang, fish cake, kerang.
Sedikit sawi dan kobis panjang
Sedikit minyak untuk menumis
1biji bawang besar atau 6 biji bawang merah dicincang halus atau kisar
 
  1. Tumis bawang hingga naik bau
  2. Tuangkan air rebusan dan masukkan 1 pek rempah dan kacau sebati
  3. Masukkan rencah pilihan
  4. Pecahkan telur, bila telur masak masukkan mee kining dan sawi.
 
 

Monday, February 16, 2015

Nasi Dagang Terengganu

 
 
Nasi Dagang menu popular di Pantai Timur, Negeri Kelantan dan Terengganu mempunyai menu nasi yang sedikit berbeza namun kedua-duanya mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Nasi Dagang Terengganu, nasinya menggunakan beras Wangi dan dicampur dengan sedikit pulut. Manakala nasi Dagang di Kelantan menggunakan beras khas yang sedikit perang.
 
 
 
 
Bahan-bahan Untuk Nasi:
 
1kg beras Wangi - basuh bersih dan rendam lebih kurang 3-4 jam
2 cawan beras pulut - basuh bersih dan rendam lebih kurang 3-4jam
1 1/2 kotak santan - 200 ml sekotak
2 helai daun Pandan
2 sudu halba
8-10 biji bawang merah
2 inci halia
Sedikit garam
 
Cara Penyediaan:
 
  1. Letakkan daun pandan dalam air kukusan untuk mewangikan beras yang dikukus.
  2. Campur kedua-dua beras kemudian kukus di dalam pengukus sehingga masak (apabila nampak wap).
  3. Campurkan sekotak santan dengan dua gelas air dan sedikit garam.
  4. Angkat beras yang dikukus kemudian gaulkan dengan santan yang telah dibancuh dengan air tadi, kemudian kukus semula sehingga masak (nampak wap)
  5. Sementera itu, mayang halus bawang merah dan halia campurkan dengan sekotak (200 ml santan), campurkan dengan sedikit garam dan 4 sudu gula - boleh lebihkan gula sekiranya sukakan nasi dagang yang sedikit manis.
  6. Panaskan seketika santan di atas dapur sehingga mendidih. Perlu sentiasa dikacau untuk mendapatkan santan yang cantik dan berkilat.
  7. Terdapat juga resepi yang menggunakan santan mentah, namun untuk mengelakkan nasi cepat basi santan dimasak seketika sehingga mendidih.
  8. Angkat nasi yang telah dikukus kali kedua tadi, kemudian gaulkan dengan santan yang telah dimasak seketika tadi. Taburkan halba dan kacau rata kemudian padatkan nasi (tekan2) dan biarkan seketika.
Bahan-Bahan Gulai Ikan Tongkol:
 
3 ekor ikan tongkol sederhana besar
2 paket kecil rempah masak cap bunga raya
2 paket kecil rempah gulai cap bunga raya
6-7 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Sedikit halia
Sedikit lengkuas

1 1/2 kotak santan - 200 ml setiap kotak
4 sudu besar cili giling
1 keeping kecil nise @ gula Melaka
3 keping asam
Minyak untuk menumis
Garam dan gula secukup rasa
Segenggam cili padi
 
  1. Ikan tongkol di potong nipis dibersihkan susun di dalam periuk, masukkan sedikit air separuh daripada ketinggian ikan, masukkan 5-6 keping asam, 3 sudu garam kasar/halus dan 1/2 keping nise atau gula Melaka. Lagi sedap sekiranya ikan direbus dan dibiarkan semalaman.
  2. Mesin atau tumbuk lumat bawang, halia dan lengkuas.
  3. Tumis bawang hingga Wangi dan garing, masukkan kedua-dua rempah yang telah dibancuh dengan sedikit air, masukkan cili giling dan tumis sehingga masak dan pecah minyak. Boleh berulang tambah air untuk pastikan rempah betul-betul masak.
  4. Masukkan santan dan air mengikut kepekatan yang disukai.
  5. Masak sehingga mendidih, masukkan ikan, asam keping, nise dan perasakan dengan garam dan gula.
  6. Masukkan cili padi ke dalam gulai dan boleh padamkan api.


Sunday, February 15, 2015

Sambal Udang



Sambal udang yang dimasak menggunakan udang dari Labuan. Memang terasa kelainan memandangkan udang yang digunakan udang segar dan saiz udang yang agak besar.

Bahan-bahan:
 
1/2kg udang
5 sudu besar cili giling
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 keping kecil gula melaka atau nise
Air asam jawa
Gula dan garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara penyediaan:
  1. Tumbuk bawang dan tumis bersama cili giling, boleh tambah air untuk pastikan cili betul-betul masak
  2. Masukkan gula melaka, garam dan gula jika perlu
  3. Masukkan air asam jawa atau sekeping asam keping
  4. Masukkan udang masak seketika untuk pastikan udang betul-betul masak.

Sate Kebab


Sate kebab yang telah sedia dijual, cuma bakar seketika dan sangat sedap dimakan dengan sos cili atau sos pencicah keropok.

Saturday, February 14, 2015

Ikan Selar Sweet Sour

 
Menu sweet sour, tidak semestinya perlu menggunakan ikan yang besar seperti siakap atau kerapu menu ini boleh juga dimasak menggunakan ikan selar atau kembung. Rasanya yang masam dan manis boleh menambat selera seisi keluarga.

Bahan-bahan:

2 ekor ikan selar - sederhana besar
1 Labu bawang besar - potong dadu
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sudu cili giling
3 sudu sos tomato
1 sudu sos cili
1 sudu sos tiram/sos ikan - jika suka
1 biji tomato - potong dadu
Nenas - Sedikit sahaja dipotong dadu
Daun ketumbar  - Jika suka
Garam dan kunyit - untuk lumurkan pada ikan
Minyak  - Untuk menggoreng ikan dan menumis
Gula dan garam

Cara Penyediaan:
  1. Ikan dilumur garam dan kunyit kemudian goreng dan toskan minyak
  2. Menggunakan sedikit minyak tumis bawang dan cili kering. Boleh tambah air untuk pastikan cili betul-betul masak.
  3. Masukkan semua sos, dan boleh tambah air mengikut kepekatan kuah yang dikehendaki.
  4. Masukkan hirisan tomato dan nenas, perasakan dengan gula dan garam.
  5. Masukkan daun ketumbar jika suka atau boleh digantikan dengan daun sup.
  6. Apabila masak boleh dicurahkan ke atas ikan.

 

Makan Di Restoren Hafiz AF

  
Makan-makan di Restoren Hafiz di Sri Kembangan. Menu yang disediakan walaupun tidak banyak pilihan tapi apa yang kami order semuanya sedap. Paling special Laksa Sarawak memang sangat sedap. Walaupun rempahnya menusuk hidung tetapi bila masuk je kemulut memang tidak terasa sangat bau tu. Kepada yang ingin mencuba Laksa Sarawak boleh ke Restoren Hafiz. Minuman Barli Limau juga sangat sedap.

Sunday, February 8, 2015

Kerabu Kaki Ayam Di Restoren Alissara Puchong

 
 
Salah satu restoren masakan yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. Bermula pada tahun 2000 sehingga kini kami masih menjadi pelanggan setia, semua menu yang disediakan sangat sedap antaranya Siakap Stim Limau, Kerabu Kaki Ayam dan lain-lain masakan panas memang tidak menghampakan bagi mereka yang menggemari masakan Thailand@Siam boleh berkunjung ke sini. Restoren Alissara (Original Thai Cuisine) terletak di Puchong.

Saturday, February 7, 2015

Lempeng Kelapa Umai Cafe Putrajaya


Lempeng kelapa, salah satu menu kegemaran kami di Umai Café Presint 2 Putrajaya. Lain-lain menu seperti di SINI.

Nasi Lemak Ipoh Station Puchong


 
 
Kedai makan ni terselit di antara kedai-kedai Perabut Jati kat Puchong. Menu yang disediakan di kedai ni memang semua menepati selera. Kalau sebelah petang menu yang sedap dan menjadi pilihan kami ialah mee goreng.


Daging dan Hati Lembu Goreng Kicap

 
 

 
Hati lembu selalunya di masak kerutuk, namun untuk mengubah selera boleh juga digoreng kicap bersama dengan daging. Masukkan juga hirisan lada hijau dan bawang besar memang sedap dan boleh sebabkan nasi ditambah berkali-kali.
 
Bahan-bahan:
 
1/2 kg daging dicampur hati lembu - Potong nipis basuh dan sejatkan air
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
Kicap Manis - Anggaran 1 senduk
Lada merah dan hijau - jika suka
1 helai daun limau purut
2 sudu sos tiram
Minyak masak - lebih kurang setengah senduk kecil
Garam dan gula secukup rasa
 
Cara Penyediaan:
  1. Masukkan daging dan hati lembu dalam kuali panaskan sehingga air daging kering, sesekali perlu dikacau
  2. Bila air daging sudah kering, masukkan minyak (memadai dengan sedikit minyak)goreng hingga daging dan hati betul-betul masak. Boleh lebihkan masa menggoreng bagi yang suka daging dan hati masak garing
  3.  Kemudian masukkan bawang dan cili goreng sehingga wangi, kemudian masukkan kicap dan sos tiram serta sedikit air mengikut kepekatan yang disukai
  4. Akhir sekali masukkan daun limau purut jika suka dan perasakan dengan garam dan gula.

Pengat Pisang


 
Pengat pisang memang sedap di makan sama ada semasa masih panas atau sejuk. Pelbagai jenis pisang sesuai dibuat pengat seperti pisang tanduk, abu, berangan atau nangka. Pengat pisang boleh juga dimakan bersama-sama pulut.
 
Bahan-bahan:
 
7-8 biji pisang - buang kulit dan potong dua pisang
5-6 sudu sagu mata ikan - bersih dan rendam seketika
1 kotak santan - 200 ml
3 keping kecil nise @ gula Melaka
2 sudu gula - jika perlu
1 helai daun pandan
Air secukupnya - bergantung kepada kepekatan kuah yang disukai
1/2 sudu  kecil garam
 
Cara Penyediaan:
 
  1. Didihkan air dan masukkan sagu yang direndam bersama dengan daun pandan
  2. Kemudian masukkan santan dan nise masak sehingga mendidih, perlu sentiasa dikacau
  3. Masukkan gula jika masih tidak manis dan masukkan sedikit garam untuk menambah kelemakkan bubur
  4. Masukkan pisang dan masak seketika sehingga pisang lembut

Roti Jala dan Kari Ayam

 
Terdapat pelbagai resepi untuk menyediakan roti jala. Banyak-banyak resepi, roti jala kali ni disediakan hasil rujukan dari blog Azie Kitchen. Memang diakui resepinya amat mudah dan menghasilkan roti jala yang betul-betul lembut. Resepi roti jala seperti yang disalin daripada blog Puan Azie. Roti jala ini dimakan dengan kari ayam khas yang sedikit manis seakan-akan gulai ayam Kelantan. Untuk kari ayam atau gulai ayam Kelantan Style boleh rujuk SINI. Jika suka, gulai ayam boleh dimaniskan sedikit untuk disesuaikan makan dengan roti jala.


Bahan bahan:
 
3 cawan tepung gandum
2 1/2 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil garam
1 biji telur
3 cawan air/santan/susu segar (Pn. Azie guna air dicampur sedikit santan)
Sedikit pewarna kuning

Cara Penyediaan:
  1. Blendkan semua bahan di atas hingga sebati. Kalau nak tahu adunan dah boleh dijala atau belum, cuba masukkan sesenduk ke dalam acuan. Kalau keluarnya tak putus-putus maknanya dah boleh di jala menggunakan kuali non stick. Kuali biasa pun boleh asal tak melekat. Kalau pekat tambah air lagi sehingga boleh dijala.
  2. Lepas jala atas kuali biarkan dalam beberapa saat. Kalau dah masak tak payah dibalik terus aje di angkat dan digulung.
  3. Bila dah siap bolehlah dimakan dengan kuah ayam masak kuzi.
  4. Roti jala juga boleh dimakan dengan kari ayam atau kuah serawa durian.
 

Terung Goreng Berlada



 
Terung goreng berlada ini boleh dilengkapkan dengan menu lain seperti sup ayam, ikan rebus goreng 

Bahan-bahan:

2 biji Terung - belah dan potong rendam air
4 biji cili kering
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 sudu udang kering
Gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara penyediaan:
  1. Goreng terung di atas kuali leper dengan sedikit minyak
  2. Mesin bawang, lada kering dan udang kering hingga hancur
  3. Tumis bahan yang dimesin hingga masak
  4. Perasakan dengan gula dan garam
  5. Susun terung yang telah digoreng dan tuangkan sambal di atas terung

Patin Masak Tempoyak

 
 
Ikan Patin masak tempoyak menu yang popular di Temerluh Pahang. Memandangkan ada stok ikan patin segar yang dibeli di Temerluh, cubaan untuk masak ikan patin tempoyak hasil rujukan dari beberapa blog masakan yang disesuaikan dengan bahan-bahan yang ada memang menjadi. Menu ini agak simple dan mudah untuk disediakan.
 
Bahan-bahan:
 
1 ekor ikan patin sederhana besar - potong kecil 
(bersihkan dengan air gandum untuk hilangkan hanyir)
3 biji bawang merah
2 sudu tempoyak
seikat daun kesum
3-4 biji cili kecil
Timun - Jika suka
1 keeping asam keeping - jika perlu
Garam dan gula secukup rasa
 
Cara penyediaan:
  1. Tumbuk lumat bawang dan cili - boleh juga dimesin bersekali dengan tempoyak
  2. Masukkan bahan yang dimesin ke dalam periuk campurkan air mengikut kepekatan yang disukai
  3. Biarkan mendidih seketika, kemudian masukkan ikan, daun kesum dan asam keeping sekiranya masih tidak masam. Kadangkala memadai dengan kemasaman tempoyak.
  4. Masukkan timun, masak seketika dan padamkan api.
 

Thursday, February 5, 2015

Gulai Ayam


Di Negeri Kelantan, gulai ayam selalunya dimakan dengan nasi putih untuk sarapan pagi dan lebih dikenali dengan 'nasi berlauk'. Untuk menambah selera gulai ayam ini akan lebih sedap dimakan dengan nasi putih apabila ada sambal belacan.

Bahan-bahan:

1 ekor ayam - dipotong kecil
1 kotak santan - 200ml
5-6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 sudu besar cili giling - boleh juga digantikan dgn cili kering
3 sudu besar serbuk kari 
1 keping gula melaka atau nise
Garam dan gula secukup rasa
Air asam jawa - 1 sudu asam jawa bancuh dgn air
Minyak untuk menumis

Cara penyediaan:

  1. Tumis bawang dan cili sehingga garing dan cili betul-betul masak 
  2. Masukkan serbuk kari yang dah dibancuh dengan air, tumis sehingga pecah minyak boleh berulang tambah air untuk pastikan rempah yang ditumis masak sempurna
  3. Masukkan ayam dan masak seketika
  4. Masukkan santan, air asam jawa dan nise
  5. Kemudian perasakan dengan garam dan gula


Acar Masak Pisang Muda



Acar masak pisang muda, menu yang popular di Negeri Kelantan terutamanya di Bulan Ramadhan. Menu ni banyak dijual dan siap dibungkus di dalam plastik jernih. Memang menambat selera lebih-lebih lagi time kita berpuasa. Untuk menyediakan acar masak ini hanya pisang tertentu sahaja yang boleh digunakan. Di Negeri Kelantan Pisang Benggala ini dikenali dengan 'pisang galo'. Pisang ini jarang dimakan masak kerana banyak biji dan daun pokok pisang ini sering digunakan untuk membungkus kuih muih seperti kuih lepat, kuih tepung bungkus atau kuih nagasari kerana daunnya yang tidak mudah pecah.

Bahan-bahan:
 
7-8 biji pisang muda
2 cawan santan
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
4-5 biji cili kering 
3 sudu makan cuka
Segenggam taugeh
2 biji cili merah/hijau
Garam dan gula secukup rasa

Cara penyediaan:

  1. Potong pisang/kelar jangan sampai putus kemudian rendam dengan air garam
  2. Celur pisang seketika, lebih kurang 7-8 minit kemudian sejat pisang dan ramas sedikit untuk keluarkan air rebusan
  3. Mesin bawang dan cili kering
  4. Tumis seketika kemudian masukkan santan dan air mengikut kepekatan yang disukai, acar masak selalunya berkuah sedikit cair
  5. Masak sehingga pecah minyak dan mendidih
  6. Masukkan pisang, cuka dan lada merah
  7. Perasakan dgn garam dan gula
  8. Padamkan api dan masukkan taugeh




Wednesday, February 4, 2015

Asam Pedas Daging Tetel



Asam pedas daging tetel memang menu yang popular di Melaka. Salah satu Asam pedas daging tetel yang pernah kami cuba ialah asam pedas pokok besar di Bandar Laksamana Melaka. Menu ini jarang dimasak di rumah namun sekali sekala dimasak memang menyelerakan.

Bahan-bahan:

1/2 kg daging tetel
5 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
5 sudu besar cili giling* - boleh juga digantikan dengan cili kering
2 inci lengkuas*
1 inci kunyit*
1 inci halia*
1/2 sudu jintan manis dan jintan putih* - jika suka
3 keping asam
Satu ikat daun kesum
2 helai daun limau purut - jika suka
1 kuntum bunga kantan
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis
Bendi - jika suka

Cara Penyediaan:
  1. Basuh dan sejat daging
  2. Mesin bahan-bahan yang bertanda* hingga hancur dan tumis sehingga masak dan pecah minyak, boleh berulang tambah air untuk pastikan cili benar-benar masak
  3. Masukkan daging dan masak sehingga daging empuk
  4. Tambah air mengikut kepekatan yang disukai
  5. Masukkan asam keping, daun kesum, bunga kantan dan daun limau purut
  6. Masukkan bendi jika suka

Bilis Sambal Tempoyak

 
 
Bilis sambal tempoyak dari segi rupa tiada bezanya dengan sambal bilis biasa, cuma rasanya ada rasa masam manis tempoyak. Memang sedap dimakan dengan nasi panas.
 
Bahan-bahan:
 
Dua genggam bilis
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1 Labu bawang besar kuning
3 sudu cili giling
2 sudu tempoyak
Garam dan gula - Sekiranya suka boleh masukkan sedikit gula melaka
Sedikit minyak untuk menumis
 
Cara Penyediaan:
  1. Goreng bilis hingga garing dan ketepikan
  2. Bawang merah dan bawang putih ditumbuk hancur
  3. Tumis bawang dan cili giling sehingga masak dan pecah minyak
  4. Perasakan dengan garam dan gula, serta masukkan gula melaka - setengah keping kecil
  5. Masukkan tempoyak masak seketika dan masukkan bawang besar yang dipotong bulat
  6. Padamkan api, masukkan bilis dan kacau sehingga mesra.
 
 


Kari Kepala Ikan Mamak Style

Masih teringat-ingat kesedapan kari mamak yang dimakan di Penang. Kebanyakkan kari mamak tidak menggunakan santan. Kari kepala ikan yang dimasak ini adalah hasil rujukan dari blog masakan Dari Dapur Madiha, resepi yang dikongsikan ini memang sedap dan rasanya seakan-akan kari mamak yang dimakan di Penang. Memang sedap dan sangat menyelerakan. Resepi yang dikongsikan di sini seperti yang dirujuk dari blog Dari Dapur Madiha.

Bahan-bahan utama:
Kepala ikan merah/jenahak - atau apa2 ikan yang digemari
5 sudu besar rempah kari ikan
3 sudu besar cili kisar

Bahan-bahan untuk dikisar
1 biji bawang besar
3-4 biji bawang merah
4 biji bawang putih
sedikit lada hitam (letak 1 sudu kecik serbuk lada hitam)

Bahan-bahan untuk dimayang:
1 labu bawang besar dimayang halus
3 biji bawang putih

daun kari 2 tangkai (Jangan leraikan)
sedikit halba campur
air asam jawa lebihkan sedikit
garam dan gula secukup rasa
air secukupnya utk kuah
Bahan Rampai:
Terung ataupun boleh guna kacang bendi
Cili hijau
Buah tomato 
Cara Penyediaan:
  1. Panaskan minyak dan tumis bahan yg dimayang dengan halba campur. Setelah agak layu masukkan cili kisar, bahan mesin.
  2. Kemudian masukkan rempah kari ikan.  Masukkan 2 tangkai daun kari. Masak sehingga hilang bau rempah dan masukkan air jika rempah nampak kering.
  3. Setelah rempah dah masak, masukkan air asam jawa yang ditapis air secukupnya ikut kepekatan kuah yg disukai
  4. Perasakan dengan garam dan gula.
  5. Biarkan kuah mendidih seketika baru masukkan ikan dan bahan-bahan rampai. Ikan dimasukkan akhir sekali untuk mengelakkan isi ikan hancur.

Monday, February 2, 2015

Patin Tempoyak Temerluh Pahang

 
 
Untuk merasai kelainan kami mencuba pula ikan patin masak tempoyak di kedai makan S.Z. Rahmah di Temerloh Pahang. Sebelum ini kami pernah makan di restoren Pak Usop. Kedua-dua kedai ini menghidangkan masakan yang agak berbeza. Namun kedua-duanya mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Walau bagaimanapun untuk lain-lain pilihan menu, Kedai Pak Usop menawarkan lebih banyak menu sampingan yang lain termasuk ikan bakar serta ulam-ulaman.

Sunday, February 1, 2015

Kuey Teow Kungfu Umai Cafe Putrajaya



Salah satu café makan kegemaran kami sekeluarga ialah Umai Café di Presint 2 Putrajaya. Selain daripada kuey teow kungfu lain-lain menu yang menjadi pilihan setiap kali kami ke sini ialah mee goreng, mee bandung, lempeng kelapa, burger special dan nasi goring umai. Masakan panas untuk hidangan warung seperti tomyam dan lain-lain juga tidak mengecewakan.